REFLEKSI DIRI
Pengalaman saya dalam mengendalikan aktiviti kokurikulum yang saya masih ingat ialah sekitar dalam tahun 2010 hingga 2011 apabila saya menjawat jawatan sebagai presiden Kelab Sejarah, Sekolah Menengah Kebangsaan Bau, Sarawak. Pada ketika itu, saya berada dalam tingkatan 4. Buat pertama kali dalam sejarah kelab itu ditubuhkan di sekolah, saya merupakan orang pertama yang mengatur dan mengendalikan lawatan kelab sejarah ke tempat-tempat bersejarah yang terletak di Kuching Sarawak. Pada ketika saya menjawat jawatan presiden kelab tersebut, muncul di fikiran saya bahawa saya inginkan satu perubahan berlaku kepada kelab tersebut. Saya mahu membawa setiap ahli kelab meneroka, mendalami, memahami sejarah dan melihat tempat bersejarah yang wujud di negeri saya, Sarawak. Saya mengambil kira semua perkara bermula dengan pemilihan tempat, bajet atau kos pengangkutan dan makanan pelajar serta guru iringan. Saya memilih lokasi seperti Fort Margherita, Kampung Budaya, Waterfront Kuching dan Planeterium Kuching Sarawak untuk dilawati oleh kelab kami. Bajet yang diperuntukan untuk lawatan tersebut ialah RM 15.00 seorang. Saya berunding dengan pemandu bas dan berjaya mendapat harga bas/pengangkutan sebanyak rm 300 untuk membawa kami ke 4 tempat. Saya juga meminta bantuan pihak asrama untuk membekalkan kami makanan pagi dan tengahari untuk dibawa semasa lawatan kerana ada sesetengah pelajar tidak membawa duit lebihan untuk membeli makanan lain pada ketika itu. Mujur saya telah meyediakan makanan yang mencukupi untuk mereka. Lawatan kelab sejarah yang dirancang oleh saya berjaya dilaksanakan dengan lancar. Pengalaman mengendalikan lawatan besar dalam usia yang muda telah memberi saya mengalaman belajar untuk berkomunikasi, berunding, menguruskan sesuatu acara, aktiviti dengan teratur dan tersusun.
Saya juga pernah terlibat dalam menyertai pertandingan Bola tampar antara sekolah dan turut mewakili sekolah dalam bola tampar pada sekitar tahun 2012. Pada ketika itu, saya berada dalam tingkatan 6 rendah. Saya dan ahli kumpulan mewakili sekolah dalam pertandingan bola tampar dan mendapat johan pertandingan. Pertandingan itu diwakili oleh 3 buah sekolah di daerah Bau, Sarawak. Pengalaman yang diperoleh daripada pertandingan itu ialah pengalaman manis semasa berlatih bersama-sama rakan setiap petang.
Setelah masuk peringkat universiti, saya juga aktif dalam kelab persatuan anak Sarawak-UUM. Kelab ini telah menganjur banyak aktiviti seperti bengkel, dan majlis/acara penting seperti BAKTISISWA SARAWAK-UUM dan ‘Borneo Cultural Festival’. Saya pernah memegang jawatan sebagai setiausaha, fasilitator dan ahli jawatankuasa (AJK) dalam acara tersebut. Saya juga bergiat aktif dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan sering mengikuti kursus dan latihan yang diadakan sewaktu di Universiti.